Monday, December 28, 2009

Hijrah Mahasiswa



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada ruangan kali ini. Insyaallah pada post kali ini, kami akan menceritakan kepada anda hubungan antara hijrah dengan mahasiswa. Saudara dan saudari sekalian, kita baru sahaja melangkah ke 1431H. Maka, pelbagai azam baru diperdengarkan. Ada mahasiswa yang berniat untuk meningkatkan diri mereka daripada kurang baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik. Namun demikian, semua ini hanya akan menjadi seperti debu sahaja, andai ia dilakukan semata-mata kerana melepasi sebuah tahun. Setiap tahun, situasi ini akan berlaku:

1 Muharram, 1001 azam baru muncul dan wujud.
1 Januari, sekali lagi 1001 azam baru muncul.
Baiklah, sekarang kami akan berkongsi tips-tips untuk mahasiswa/i itu melakukan hijrah. Antaranya ialah:

1) Matlamat yang jelas dan terperinci
Ramai orang yang mempunyai matlamat. Tetapi, kebanyakannya adalah matlamat yang tidak jelas dan sukar dicapai. Antaranya ialah “ Saya ingin berjaya”. Matlamat seperti ini terlalu luas skopnya. Pelbagai soalan yang boleh diutarakan berkaitan dengan matlamat ini. Antaranya ialah jika ingin berjaya, berjaya dalam bidang apa? Adakah berjaya dalam pendidikan, perniagaan mahupun perkahwinan? Matlamat yang sebaik-baiknya adalah matlamat yang spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, relevan serta sesuai dengan masa. Sebagai contoh “Matlamat Ahmad untuk tahun 2010 ini adalah mendapat Anugerah Dekan dalam pelajaran”. Nah, satu matlamat yang cukup cantik dan memenuhi ciri-ciri matlamat yang sepatutnya. Namun, ini merupakan satu contoh sahaja. Andalah yang tentukan matlamat apa yang anda inginkan. Pendek kata, tetapkan matlamat anda agar kita lebih bermotivasi untuk melakukan sesuatu perkara.

2) Perancangan yang rapi
Matlamat yang jelas tanpa perancangan yang rapi adalah hanya sia-sia. Matlamat tidak mungkin tercapai andainya kita sebagai mahasiswa/i tidak mempunyai strategi untuk melakukannya. Sebagai contoh, jika matlamat anda mahu mendapat anugerah dekan dalam pelajaran, maka anda perlulah mempunyai perancangan yang rapi dan tersusun. Antaranya ialah selalu menghadiri kuliah, selalu melakukan assignment/tugasan yang diberikan, bertanya jika tidak faham, melakukan group discussion dengan rakan-rakan, memohon restu ibu bapa serta mendekatkan diri kepada Allah. Yang penting, anda perlu rancang(plan) dengan baik agar anda mudah untuk mencapai matlamat anda tersebut. Tanpa strategi yang betul, anda akan gagal untuk mencapai matlamat anda tersebut. Kami pasti ramai mahasiswa/i dahagakan kejayaan. Oleh itu, rancanglah matlamat anda dengan betul. Jika anda mempunyai Master Plan, maka anda juga perlulah mempunyai Backup Plan. Sebagai contoh, jika Plan A anda tidak berjaya dilaksanakan, maka anda boleh laksanakan Plan B anda dan begitulah sebaliknya.

3) Tindakan dan Usaha yang berterusan
Setelah anda mempunyai matlamat dan perancangan, perkara yang seterusnya adalah bagaimana menukarkan perkara tersebut kepada TINDAKAN dan USAHA. Tanpa dua elemen yang penting ini, kami yakin matlamat anda hanyalah satu matlamat yang kosong sahaja. Nasihat kami, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang anda idam-idamkan. Kami amat yakin dan percaya, jika anda tidak mengenal erti putus asa, anda akan berjaya mengharungi pelbagai dugaan dan rintangan. Untuk berjaya bukanlah senang, untuk gagal teramatlah senang. Antara usaha anda adalah dengan melakukan pengorbanan. Dalam konteks ini, pengorbanan yang dimaksudkan adalah pengorbanan dalam bentuk wang, masa dan tenaga. Ya, mungkin jika anda mahu bejaya dalam pelajaran, anda perlu korbankan wang anda untuk membelikan buku-buku teks dan rujukan, masa anda untuk belajar dan memahami sesuatu serta tenaga anda untuk datang ke kuliah-kuliah pengajian. Usaha melalui pengorbanan seperti ini insyaallah akan diberi ganjaran pahala daripada Allah

Sebenarnya terdapat pelbagai lagi tips-tips untuk melakukan hijrah. Namun, kami merasakan 3 tips ini sudah cukup untuk anda aplikasikan dalam kehidupan anda sebagai seorang mahasiswa/i. Anda perlu ingat, kehidupan sebagai mahasiswa/i terlalu banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi. Nasihat kami, berhijrahlah. Berhijrah dengan mempunyai matlamat yang jelas, perancangan yang rapi serta tindakan dan usaha yang berterusan. Insyaallah, kejayaan akan menjadi milik kita. Berjaya bukan sahaja dalam akademik, namun berjaya dalam segala segi meliputi sahsiah, kepimpinan, kokurikulum serta keusahawanan.
Sekian sahaja daripada kami,
Team Balai Islam KKTAZ

No comments:

Post a Comment