Monday, December 28, 2009

Hijrah Mahasiswa



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada ruangan kali ini. Insyaallah pada post kali ini, kami akan menceritakan kepada anda hubungan antara hijrah dengan mahasiswa. Saudara dan saudari sekalian, kita baru sahaja melangkah ke 1431H. Maka, pelbagai azam baru diperdengarkan. Ada mahasiswa yang berniat untuk meningkatkan diri mereka daripada kurang baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik. Namun demikian, semua ini hanya akan menjadi seperti debu sahaja, andai ia dilakukan semata-mata kerana melepasi sebuah tahun. Setiap tahun, situasi ini akan berlaku:

1 Muharram, 1001 azam baru muncul dan wujud.
1 Januari, sekali lagi 1001 azam baru muncul.
Baiklah, sekarang kami akan berkongsi tips-tips untuk mahasiswa/i itu melakukan hijrah. Antaranya ialah:

1) Matlamat yang jelas dan terperinci
Ramai orang yang mempunyai matlamat. Tetapi, kebanyakannya adalah matlamat yang tidak jelas dan sukar dicapai. Antaranya ialah “ Saya ingin berjaya”. Matlamat seperti ini terlalu luas skopnya. Pelbagai soalan yang boleh diutarakan berkaitan dengan matlamat ini. Antaranya ialah jika ingin berjaya, berjaya dalam bidang apa? Adakah berjaya dalam pendidikan, perniagaan mahupun perkahwinan? Matlamat yang sebaik-baiknya adalah matlamat yang spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, relevan serta sesuai dengan masa. Sebagai contoh “Matlamat Ahmad untuk tahun 2010 ini adalah mendapat Anugerah Dekan dalam pelajaran”. Nah, satu matlamat yang cukup cantik dan memenuhi ciri-ciri matlamat yang sepatutnya. Namun, ini merupakan satu contoh sahaja. Andalah yang tentukan matlamat apa yang anda inginkan. Pendek kata, tetapkan matlamat anda agar kita lebih bermotivasi untuk melakukan sesuatu perkara.

2) Perancangan yang rapi
Matlamat yang jelas tanpa perancangan yang rapi adalah hanya sia-sia. Matlamat tidak mungkin tercapai andainya kita sebagai mahasiswa/i tidak mempunyai strategi untuk melakukannya. Sebagai contoh, jika matlamat anda mahu mendapat anugerah dekan dalam pelajaran, maka anda perlulah mempunyai perancangan yang rapi dan tersusun. Antaranya ialah selalu menghadiri kuliah, selalu melakukan assignment/tugasan yang diberikan, bertanya jika tidak faham, melakukan group discussion dengan rakan-rakan, memohon restu ibu bapa serta mendekatkan diri kepada Allah. Yang penting, anda perlu rancang(plan) dengan baik agar anda mudah untuk mencapai matlamat anda tersebut. Tanpa strategi yang betul, anda akan gagal untuk mencapai matlamat anda tersebut. Kami pasti ramai mahasiswa/i dahagakan kejayaan. Oleh itu, rancanglah matlamat anda dengan betul. Jika anda mempunyai Master Plan, maka anda juga perlulah mempunyai Backup Plan. Sebagai contoh, jika Plan A anda tidak berjaya dilaksanakan, maka anda boleh laksanakan Plan B anda dan begitulah sebaliknya.

3) Tindakan dan Usaha yang berterusan
Setelah anda mempunyai matlamat dan perancangan, perkara yang seterusnya adalah bagaimana menukarkan perkara tersebut kepada TINDAKAN dan USAHA. Tanpa dua elemen yang penting ini, kami yakin matlamat anda hanyalah satu matlamat yang kosong sahaja. Nasihat kami, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang anda idam-idamkan. Kami amat yakin dan percaya, jika anda tidak mengenal erti putus asa, anda akan berjaya mengharungi pelbagai dugaan dan rintangan. Untuk berjaya bukanlah senang, untuk gagal teramatlah senang. Antara usaha anda adalah dengan melakukan pengorbanan. Dalam konteks ini, pengorbanan yang dimaksudkan adalah pengorbanan dalam bentuk wang, masa dan tenaga. Ya, mungkin jika anda mahu bejaya dalam pelajaran, anda perlu korbankan wang anda untuk membelikan buku-buku teks dan rujukan, masa anda untuk belajar dan memahami sesuatu serta tenaga anda untuk datang ke kuliah-kuliah pengajian. Usaha melalui pengorbanan seperti ini insyaallah akan diberi ganjaran pahala daripada Allah

Sebenarnya terdapat pelbagai lagi tips-tips untuk melakukan hijrah. Namun, kami merasakan 3 tips ini sudah cukup untuk anda aplikasikan dalam kehidupan anda sebagai seorang mahasiswa/i. Anda perlu ingat, kehidupan sebagai mahasiswa/i terlalu banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi. Nasihat kami, berhijrahlah. Berhijrah dengan mempunyai matlamat yang jelas, perancangan yang rapi serta tindakan dan usaha yang berterusan. Insyaallah, kejayaan akan menjadi milik kita. Berjaya bukan sahaja dalam akademik, namun berjaya dalam segala segi meliputi sahsiah, kepimpinan, kokurikulum serta keusahawanan.
Sekian sahaja daripada kami,
Team Balai Islam KKTAZ

Sunday, December 27, 2009

Salam Ukhuwah Daripada Kami...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua,


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapat kita bertemu buat kali pertama di blog yang baru diwujudkan ini. Terlebih dahulu, pihak kami, Jawatankuasa Balai Islam Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi (KKTAZ), Universiti Malaya, ingin mengalu-alukan kehadiran anda ke blog ini. Kami berharap agar pengunjung blog ini dapat menerima kehadiran kami dengan tangan yang terbuka. Baiklah, untuk pengetahuan semua, blog ini diwujudkan pada 28 Disember 2009 bersamaan dengan 11 Muharram 1431 Hijriah.


Insyaallah, untuk post-post yang seterusnya kami akan membawa berita yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kami yang telah, sedang dan akan dijalankan. Kami juga akan memuatkan artikel-artikel yang berkaitan dengan islam serta karya kreatif seperti sajak, syair, lirik lagu dan apa-apa sahaja yang dirasakan menarik. Bukan itu sahaja, kami juga akan memperkenalkan barisan pimpinan Jawatankuasa Balai Islam KKTAZ kepada anda semua agar anda dapat mengenali mereka dengan lebih lanjut. Insyaallah, jika diizinkan Allah segala yang kami rancang itu akan kami muatkan ke dalam blog ini.


Selain itu, kami juga berharap agar anda iaitu pembaca blog ini dapat menyumbangkan idea, cadangan, pandangan serta kritikan untuk penambahbaikan blog ini. Anda juga boleh menghantarkan apa sahaja sama ada karya kreatif anda mahupun artikel untuk diterbitkan di blog balai islam ini. Anda boleh menghantarnya di balaiislamkktaz@gmail.com

Jika anda tidak keberatan, hebahkan blog ini kepada rakan-rakan anda yang lain untuk kebaikan kita bersama.


Akhir kata, semoga dengan kemunculan blog ini dapat membantu kita sebagai umat islam untuk menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa/i islam yang hebat, bertenaga dan berpegang teguh dengan ajaran islam. Kami mendoakan yang terbaik kepada anda, dan kami berharap agar anda juga dapat mendoakan yang terbaik untuk kami. Selamat meneruskan pengajian untuk semester yang seterusnya kepada semua mahasiswa/i Universiti Malaya terutamanya mahasiswa/i KKTAZ.