Sunday, January 17, 2010

Risalah Balai Islam KKTAZ versi Online...





Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua,


Alhamdulillah, buat kali pertamanya pada tahun ini, kami di Balai Islam akan menerbitkan risalah untuk tatapan warga kolej semua. Diharapkan dengan kehadiran risalah ini dapat menjadi peneman anda semua di kala anda sunyi,di kala anda bosan dan jika boleh, risalah ini akan menemani anda sepanjang masa. Insyaallah. Semoga apa yang kami hidangkan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anda semua. Selamat membaca risalah kami ya:-)


Sekian, 
Balai Islam KKTAZ

Monday, January 11, 2010



MAJLIS GOTONG ROYONG BUBUR ASYURA

- TARIKH : 15 JAN 2010
- TEMPAT : PARKING A
-MASA : 9 PAGI-6 PTG

DIHARAPKAN SEMUA PENGHUNI KOLEJ TUN AHMAD ZAIDI DAPAT MEMERIAHKAN LAGI PROGRAM INI DAN SAMA-SAMA TURUN UNTUK MENJAYAKANNYA.

Saturday, January 9, 2010

Apa Guna Iman Sekiranya Tidak Diuji
www.iluvislam.com
Geekspro



Dalam hidup ini kita terpaksa berdepan dengan dua situasi atau keadaan yang mana keadaan pertama dipanggil sebagai “hasanat” dan keadaan kedua dipanggil “as-Syiddah”.

Kedua-dua keadaan ini pasti akan dihadapi oleh setiap manusia.

Hasanat ialah segala kebaikan dan kesenangan yang menyenangkan hati manusia seperti diberikan tubuh badan yang sihat, mempunyai harta kekayaan yang banyak, mempunyai jawatan dan pangkat yang tinggi dan sebagainya. Hasanat inilah yang telah banyak menghancurkan iman manusia sejak zaman berzaman apabila ia tidak berjaya diolah dengan baik berdasarkan keimanan yang ada.

Sebagai contoh kita dapat lihat ialah bagaimana firaun yang telah diberikan kekuasaan dan kekayaan oleh Allah Taala lalu dengan kekayaan dan kekuasaan tersebut ia telah menderhakai Allah sehingga akhirnya dia telah dibinasakan oleh Allah akibat daripada sifat lupa kepada diri apabila memperoleh hasanat (kebaikan yang banyak).

Hasanat ini menjadi idaman setiap diri manusia akan tetapi apabila hasanat ini diberikan oleh Allah kepada manusia tidak ramai yang mampu mengolahnya dengan baik dan kebanyakan manusia tidak reti untuk bersyukur.

As-Syiddah pula adalah setiap kesukaran, kesempitan dan kesusahan yang menyebabkan hati manusia merasa berat untuk memikulnya dan merasakan tidak sanggup untuk berdepan dengannya seperti kemiskinan, ditimpa sakit, hilang harta benda, kematian ahli keluarga dan sebagainya.

As-Syyidah ini walaupun kita lihat ia sesuatu yang cukup berat untuk ditanggung tetapi sebenarnya ia lebih sedikit mendatangkan risiko terhadap iman manusia kerana kebiasaannya apabila ditimpa kesukaran dan kesempitan manusia menjadi mudah untuk mengingati Allah dan mengadu hal kepadaNya.

As-Syiddah ini tetap mendatangkan risiko kepada iman manusia sebenarnya kalau ia tidak berjaya diolah dengan baik namun risikonya kepada iman adalah lebih kurang sedikit jika hendak dibandingkan dengan hasanat yang sering kali menjadikan manusia lupa dan lalai kepada Allah. Lantaran itu, apabila kita meneliti sirah perjuangan Nabi s.a.w kita dapat melihat bahawa perjuangan Nabi adalah perjuangan yang dikelilingi oleh kesusahan demi kesusahan dan para sahabat yang mengikuti Nabi ketika itu bertambah secara mendadak iman mereka disebabkan As-Syiddah yang mereka hadapi.

Setiap kali ditimpa as-Syiddah pergantungan Nabi dan para sahabat kepada Allah semakin kuat serta mereka menyerahkan diri secara total kepada Allah Taala sebagaimana Firman Allah Taala dalam surah surah al-ahzab ayat 22 :

[33,22.jpg]

Maksudnya :

Dan pada masa orang-orang Yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah Yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada Kami dan benarlah (Apa Yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". dan (angkatan tentera musuh Yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. ( 33 : 22)

Selagi mana nyawa di kandung badan maka selagi itu kita akan berdepan dengan dua keadaan ini yang menuntut kita untuk mengolah setiap ujian ini dengan baik berdasarkan iman yang ada. Sama ada kita berdepan dengan hasanat mahupun as-Syiddah maka gunalah iman untuk mengolahnya. Iman itu sangat berguna apabila kita diuji oleh Allah Taala kerana dengan imanlah kita mampu membawa diri menjadi individu yang sentiasa bersyukur dan mengharapkan RahmatNya.

Lebih baik kita diuji sewaktu hidup di atas muka bumi ini berbanding ujian yang di akhirat kerana seberat mana ujian di dunia ia akan berakhir akan tetapi jika diuji dengan kesusahan di akhirat ia terlalu dahsyat untuk ditanggung.

Saturday, January 2, 2010

WAJIB BERSIKAP IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU

Kandungan :
Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110, Surah Al-Kahf)


" .. hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan kepada-Nya segala ibadat dan bawaan mu." (2, Surah Al-Zumar).


Hadis Ketiga Puluh Tiga

33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود وابن ماجه)

33- Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak."


( Abu Daud dan Ibnu Majah)


Hadis yang ketiga puluh tiga ini menerangkan:


Orang yang mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat habuan dunia, buruk padahnya.

Huraiannya:


Tiap-tiap perbuatan adalah dinilai menurut tujuan orang yang melakukannya. Sesuatu perkara yang dilakukan oleh dua orang dengan tujuan yang berlainan, maka berlainan pula nilainya, kerana tujuanlah yang mendorong seseorang melakukan sesuatu perbuatan itu.


Ilmu agama - sebagaimana yang sedia diketahui - adalah dan Allah, untuk menjalankan perintah-perintah Allah dan beramal kerana Allah.


Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya sungguh-sungguh kerana Allah, bukan kerana kepentingan dunia.


Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa orang yang menuntut ilmu agama untuk mendapat habuan dunia semata-mata, maka ia bukan sahaja tidak memasuki syurga bahkan tidak dapat mencium baunya, kerana orang yang demikian telah menyelewengkan agama Allah dan telah


menjualnya dengan habuan-habuan dunia. Oleh itu sudah selayaknya ia menerima balasan yang seburuk-buruknya.


Dalam pada itu, janji balas buruk yang tersebut dalam hadis ini, tidak ditimpakan kepada orang yang menuntut ilmu agama dengan ikhlas, kemudian ia beroleh habuan dunia sebagai nikmat pemberian yang disegerakan Tuhan kepadanya, maka orang yang demikian tidak dikeji oleh syarak,


kerana ia tidak menyelewengkan agama Allah dan tujuannya yang sebenar.


Mengenai hal ini, Imam Ghazali dan alim ulamak yang lain telah membahagikan penuntut-penuntut ilmu kepada tiga bahagian:


Pertama - Orang yang menuntut ilmu kerana Allah dan untuk keselamatannya pada hari akhirat, maka ia adalah dari orang-orang yang berjaya!


Kedua - Orang yang menuntut ilmu untuk mendapat kemuliaan, kebesaran dan harta kekayaan, dalam pada itu ia menyedari akan tujuannya yang buruk itu. Orang yang demikian, jika ia bertaubat dan menyelamatkan dirinya dan perbuatannya yang salah itu maka ia akan termasuklah dalam golongan orang-orang yang berjaya, kerana orang yang bertaubat dari dosanya akan menjadilah ia sama seperti orang yang tidak berdosa; dan jika ia mati sebelum bertaubat, adalah ditakuti ia akan mati dalam keadaan Su' al-Khatimah", semoga Allah melindungi kita daripada keadaan yang demikian dan dari segala yang membawa kepada "kesudahan yang buruk" itu.


Ketiga - Orang yang menuntut ilmu dengan tujuan mendapat harta kekayaan dan pangkat kebesaran, dengan menyangka bahawa ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, kerana ia berlagak seperti alim ulama pada pakaian dan tutur katanya; maka orang yang demikian adalah dari golongan yang binasa, kerana ia dihalangi dari bertaubat oleh sangkaannya bahawa ia berada di atas jalan yang benar.


Pendeknya orang yang menuntut ilmu dikehendaki menentukan niat dan tujuannya pada tiap-tiap masalah secara khusus satu persatu, atau secara umum - bahawa ia mempelajari ilmu itu ialah untuk menunaikan fardu ain" yang ditanggungnya untuk kewajipan dirinya sendiri, dan yang lebih dan itu hendaklah diniatkan untuk disampaikan kepada orang ramai sebagai "fardu kifayah"; dan janganlah diniatkan sebagai perkara "sunat" kerana pahala "perkara yang difardukan" adalah lebih besar dari itu.


Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya dengan ilmu yang diajarkannya itu akan dapat mencapai jalan yang menyampaikan faedahnya kepada segala lapisan masyarakat, dengan perantaraan murid-muridnya dan murid-murid kepada murid-muridnya, meliputi ilmu dan amal yang terus menerus hingga hari qiamat.


Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya untuk menyekat dirinya dari melakukan maksiat dengan berlaku taat kepada Allah dan juga menyekat dirinya dari perkara-perkara yang sia-sia dan merugikan.


Menurut Imam Al-Qarafi, bahawa sesiapa yang mengajarkan ilmu kepada orang ramai dengan tujuan hendak menjadi orang yang masyhur dan terpuji, maka perbuatannya yang demikian menjadi sebab untuk ia dipulaukan dan tidak diambil ilmu yang disampaikannya.


Hadis Ketiga Puluh Empat

34- عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ. (الترمذي وابن ماجه)

34 - Dari Ka'ab bin Malik ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menuntut ilmu, dengan tujuan bermegah-megah menandingi alim ulama dengan ilmunya itu, atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang-orang yang jahil dengan ilmunya itu, atau pun dengan tujuan menarik dengan ilmunya itu perhatian orang ramai memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam neraka. "


(Tirmizi dan Ibnu Majah)


Hadis yang ketiga puluh empat ini mengingatkan:


Penuntut-penuntut ilmu supaya jangan bertujuan selain dari mentaati Allah serta mendapat keredhaan-Nya.

Huraiannya:


Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak sepatutnya dijadikan tujuan bagi menuntut ilmu agama:


1 - Bermegah-megah menandingi alim ulama.


2 - Bertengkar dengan orang-orang jahil.


3 - Mendapat pujian orang ramai.


Sesiapa yang menjadikan salah satu dan tiga perkara yang tersebut sebagai tujuannya dalam mempelajari ilmu agama, maka amatlah buruk balasannya, kerana sikap dan tujuannya yang demikian bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri bahkan juga membawa kerosakan kepada agama Allah yang dibawa oleh RasulNya.


Kejadian yang demikian dapat disaksikan di mana-mana; ada di antara orang-orang yang mempelajari ilmu agama tetapi perbuatannya memburukkan Islam. Ada pula yang tidak beramal menurut ilmu dan ajaran Islam yang dipelajarinya, kerana amal bakti itu bukan menjadi tujuannya; pada hal tujuan yang tunggal bagi menuntut ilmu agama itu ialah untuk mencapai keredhaan Allah Taala dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Sumber: Web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
http://www.islam.gov.my/dircportal/hadith.htm

Monday, December 28, 2009

Hijrah Mahasiswa



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada ruangan kali ini. Insyaallah pada post kali ini, kami akan menceritakan kepada anda hubungan antara hijrah dengan mahasiswa. Saudara dan saudari sekalian, kita baru sahaja melangkah ke 1431H. Maka, pelbagai azam baru diperdengarkan. Ada mahasiswa yang berniat untuk meningkatkan diri mereka daripada kurang baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik. Namun demikian, semua ini hanya akan menjadi seperti debu sahaja, andai ia dilakukan semata-mata kerana melepasi sebuah tahun. Setiap tahun, situasi ini akan berlaku:

1 Muharram, 1001 azam baru muncul dan wujud.
1 Januari, sekali lagi 1001 azam baru muncul.
Baiklah, sekarang kami akan berkongsi tips-tips untuk mahasiswa/i itu melakukan hijrah. Antaranya ialah:

1) Matlamat yang jelas dan terperinci
Ramai orang yang mempunyai matlamat. Tetapi, kebanyakannya adalah matlamat yang tidak jelas dan sukar dicapai. Antaranya ialah “ Saya ingin berjaya”. Matlamat seperti ini terlalu luas skopnya. Pelbagai soalan yang boleh diutarakan berkaitan dengan matlamat ini. Antaranya ialah jika ingin berjaya, berjaya dalam bidang apa? Adakah berjaya dalam pendidikan, perniagaan mahupun perkahwinan? Matlamat yang sebaik-baiknya adalah matlamat yang spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, relevan serta sesuai dengan masa. Sebagai contoh “Matlamat Ahmad untuk tahun 2010 ini adalah mendapat Anugerah Dekan dalam pelajaran”. Nah, satu matlamat yang cukup cantik dan memenuhi ciri-ciri matlamat yang sepatutnya. Namun, ini merupakan satu contoh sahaja. Andalah yang tentukan matlamat apa yang anda inginkan. Pendek kata, tetapkan matlamat anda agar kita lebih bermotivasi untuk melakukan sesuatu perkara.

2) Perancangan yang rapi
Matlamat yang jelas tanpa perancangan yang rapi adalah hanya sia-sia. Matlamat tidak mungkin tercapai andainya kita sebagai mahasiswa/i tidak mempunyai strategi untuk melakukannya. Sebagai contoh, jika matlamat anda mahu mendapat anugerah dekan dalam pelajaran, maka anda perlulah mempunyai perancangan yang rapi dan tersusun. Antaranya ialah selalu menghadiri kuliah, selalu melakukan assignment/tugasan yang diberikan, bertanya jika tidak faham, melakukan group discussion dengan rakan-rakan, memohon restu ibu bapa serta mendekatkan diri kepada Allah. Yang penting, anda perlu rancang(plan) dengan baik agar anda mudah untuk mencapai matlamat anda tersebut. Tanpa strategi yang betul, anda akan gagal untuk mencapai matlamat anda tersebut. Kami pasti ramai mahasiswa/i dahagakan kejayaan. Oleh itu, rancanglah matlamat anda dengan betul. Jika anda mempunyai Master Plan, maka anda juga perlulah mempunyai Backup Plan. Sebagai contoh, jika Plan A anda tidak berjaya dilaksanakan, maka anda boleh laksanakan Plan B anda dan begitulah sebaliknya.

3) Tindakan dan Usaha yang berterusan
Setelah anda mempunyai matlamat dan perancangan, perkara yang seterusnya adalah bagaimana menukarkan perkara tersebut kepada TINDAKAN dan USAHA. Tanpa dua elemen yang penting ini, kami yakin matlamat anda hanyalah satu matlamat yang kosong sahaja. Nasihat kami, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang anda idam-idamkan. Kami amat yakin dan percaya, jika anda tidak mengenal erti putus asa, anda akan berjaya mengharungi pelbagai dugaan dan rintangan. Untuk berjaya bukanlah senang, untuk gagal teramatlah senang. Antara usaha anda adalah dengan melakukan pengorbanan. Dalam konteks ini, pengorbanan yang dimaksudkan adalah pengorbanan dalam bentuk wang, masa dan tenaga. Ya, mungkin jika anda mahu bejaya dalam pelajaran, anda perlu korbankan wang anda untuk membelikan buku-buku teks dan rujukan, masa anda untuk belajar dan memahami sesuatu serta tenaga anda untuk datang ke kuliah-kuliah pengajian. Usaha melalui pengorbanan seperti ini insyaallah akan diberi ganjaran pahala daripada Allah

Sebenarnya terdapat pelbagai lagi tips-tips untuk melakukan hijrah. Namun, kami merasakan 3 tips ini sudah cukup untuk anda aplikasikan dalam kehidupan anda sebagai seorang mahasiswa/i. Anda perlu ingat, kehidupan sebagai mahasiswa/i terlalu banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi. Nasihat kami, berhijrahlah. Berhijrah dengan mempunyai matlamat yang jelas, perancangan yang rapi serta tindakan dan usaha yang berterusan. Insyaallah, kejayaan akan menjadi milik kita. Berjaya bukan sahaja dalam akademik, namun berjaya dalam segala segi meliputi sahsiah, kepimpinan, kokurikulum serta keusahawanan.
Sekian sahaja daripada kami,
Team Balai Islam KKTAZ

Sunday, December 27, 2009

Salam Ukhuwah Daripada Kami...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua,


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapat kita bertemu buat kali pertama di blog yang baru diwujudkan ini. Terlebih dahulu, pihak kami, Jawatankuasa Balai Islam Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi (KKTAZ), Universiti Malaya, ingin mengalu-alukan kehadiran anda ke blog ini. Kami berharap agar pengunjung blog ini dapat menerima kehadiran kami dengan tangan yang terbuka. Baiklah, untuk pengetahuan semua, blog ini diwujudkan pada 28 Disember 2009 bersamaan dengan 11 Muharram 1431 Hijriah.


Insyaallah, untuk post-post yang seterusnya kami akan membawa berita yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kami yang telah, sedang dan akan dijalankan. Kami juga akan memuatkan artikel-artikel yang berkaitan dengan islam serta karya kreatif seperti sajak, syair, lirik lagu dan apa-apa sahaja yang dirasakan menarik. Bukan itu sahaja, kami juga akan memperkenalkan barisan pimpinan Jawatankuasa Balai Islam KKTAZ kepada anda semua agar anda dapat mengenali mereka dengan lebih lanjut. Insyaallah, jika diizinkan Allah segala yang kami rancang itu akan kami muatkan ke dalam blog ini.


Selain itu, kami juga berharap agar anda iaitu pembaca blog ini dapat menyumbangkan idea, cadangan, pandangan serta kritikan untuk penambahbaikan blog ini. Anda juga boleh menghantarkan apa sahaja sama ada karya kreatif anda mahupun artikel untuk diterbitkan di blog balai islam ini. Anda boleh menghantarnya di balaiislamkktaz@gmail.com

Jika anda tidak keberatan, hebahkan blog ini kepada rakan-rakan anda yang lain untuk kebaikan kita bersama.


Akhir kata, semoga dengan kemunculan blog ini dapat membantu kita sebagai umat islam untuk menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa/i islam yang hebat, bertenaga dan berpegang teguh dengan ajaran islam. Kami mendoakan yang terbaik kepada anda, dan kami berharap agar anda juga dapat mendoakan yang terbaik untuk kami. Selamat meneruskan pengajian untuk semester yang seterusnya kepada semua mahasiswa/i Universiti Malaya terutamanya mahasiswa/i KKTAZ.